Sabtu, 3 Disember 2011

REFLEKSI PENGAJARAN MIKRO 

1. KEKUATAN

1.1 Kelantangan suara.
Kekuatan yang dapat dikesan semasa menjalankan tugasan pengajaran mikro ialah ketegasan dan kelantangan suara. Suara yang lantang telah memudahkan murid dalam mengaplikasi kemahiran mendengar dan seterusnya membantu pemahaman murid terhadap apa yang disampaikan oleh guru. Selain itu, kelantangan suara juga menunjukkan ketegasan dalam menyampaikan sesuatu. Hal ini akhirnya akan memberi kesan kepada tumpuan dan fokus murid. Murid akan lebih tertumpu kepada penyampaian isi pelajaran tanpa menghiraukan gangguan-gangguan lain. ketegasan dalam menyampaikan pelajaran juga akan membuatkan murid lebih hormat kepada guru. Segala teguran yang ditujukan kepada murid hanya menggunakan suara guru yang lantang sahaja.

1.2 Kejelasan sebutan.
Kejelasan sebutan dalam memberikan arahan juga merupakan kekuatan yang dikenalpasti dalam penyampaian pelajaran. Kejelasan sebutan memainkan peranan dalam membina kefahaman murid. Hal ini sangat berkaitan dengan tindakan susulan murid. Arahan yang diberi jelas, memudahkan murid faham, seterusnya melakukan tugas mengikut arahan dan panduan yang diberikan. Tindakan susulan oleh murid yang tepat menunjukkan kefahaman murid terhadap penyampaian guru berkenaan isi pelajaran.

1.3 Disiplin diri murid.
Didapati murid kelas 5 Best rata-ratanya mampu mengawal disiplin mereka. Kepatuhan setiap arahan guru telah memudahkan guru menyampaikan isi pelajaran tanpa diganggu dengan perkara yang sia-sia. Oleh yang demikan, mengajar murid yang mampu mengawal disiplin diri membantu guru dalam meyampaikan pengajaran. Oleh kerana itulah, kebanyakan guru suka mengajar kelas yang mempunyaikan kebolehan yang tinggi berbanding dengan kelas yang arasnya agak sederhana ataupun rendah.

2. KELEMAHAN

2.1 Kelemahan dan kekurangan yang dikenalpasti dalam pelaksanaan tugasan pengajaran mikro ialah ketepatan mengikut masa yang ditetapkan. Ketepatan masa penting bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) berjalan dengan baik dan lancar. Berdasarkan perbandingan rakaman dan rancangan pengajaran harian (RPH) yang telah dibuat, didapati masa yang digunakan untuk menjalankan sesuatu langkah pengajaran tidak seiring. Hal ini disebabkan terdapatnya gangguan-gangguan dan hal-hal lain yang menyebabkan masa yang lebih diambil untuk melakukan sesuatu langkah. Bagaimanapun, masa keseluruhan pengajaran tidak terlalu terjejas. Langkah mengatasi : Sebagai guru yang mempunyai pengalaman berbelas tahun, tentunya mempunyai upaya untuk memastikan perancangan pengajaran sesuai dengan masa yang diperuntukkan.

2.2 Kelemahan dan kekurangan seterusnya ialah masalah dalam pemantauan kelas. Guru didapati hanya berada di hadapan kelas sahaja tanpa memantau aktiviti murid di setiap penjuru kelas. Langkah mengatasi: Guru seharusnya berjalan dan memantau setiap aktiviti murid. Melalui cara itu, guru dapat mengawal keadaan dan suasana kelas dengan lebih baik. Selain itu juga, guru dapat membantu murid dengan lebih dekat.

2.3 Guru melakukan beberapa perkara dalam masa yang sama. Apabila melihat rakaman tersebut, didapati guru bercakap, berjalan dan mengagihkan bahan. Hal ini berkemungkinan murid sukar menangkap apa yang dikehendaki guru untuk diambil tindakan oleh mereka. Langkah mengatasi: Memperbaiki agar melakukan sesuatu aktiviti biarlah langkah demi langkah supaya murid senang memahami apa yang perlu mereka lakukan.

2.4 Guru didapati tidak memberi pujian kepada murid yang berjaya menjawab soalan guru. Aspek nilai murni ini penting untuk merangsang minat murid dan seterusnya memotivasikan murid dalam kelas itu. Langkah mengatasi: Sentiasa member pujian kepada murid agar mereka akan berasa dihargai dan menimbulkan semangat belajar. Syabas, baik, bijak, pandai adalah antara kata-kata yang sesuai untuk digunakan.

2.5 Komunikasi satu hala sahaja berlaku dan murid Nampak tidak aktif dan seperti takut-takut. Dalam pengajaran dan pembelajaran terkini, model komunikasi satu hala adalah tradisional dan sangat tidak sesuai dalam pengajaran. Langkah mengatasi: Guru kena galakkan murid berkomunikasi. Masukkan sedikit unsur jenaka supaya mereka gembira dan berani untuk mengambil bahagian dalam perbincangan. Apabila ada komunikasi dua hala wujud, maka ia lebih bermakna lagi.

3 KESIMPULAN

Setiap kelemahan dan kekurangan yang dikesan memerlukan penambah baikan bagi meningkatkan kualiti pengajaran pada masa akan datang. Berdasarkan kelemahan dan kekurangan dalam tugasan pengajaran mikro, penambah baikan yang perlu dilakukan ialah ketepatan penggunaan masa menyampaikan pelajaran serta pemantauan murid di dalam kelas. Guru perlu menepati ketetapan masa seperti yang ditentukan dalam RPH. Aspek masa perlu diikut bagi melancarkan proses P&P. Hal ini juga akan memudahkan guru menyelesaikan setiap bahagian penyampaian pengajaran dari permulaan sesi pengajaran hingga tamat. Guru perlu sentiasa aktif bergerak dan berjalan ke setiap sudut kelas bagi memantau dan melihat setiap aktiviti yang dilakukan oleh murid ketika P&P berjalan. Kaedah ini sangat membantu guru dalam mengawal murid di dalam kelas, sama ada mengawal tingkah laku murid, atau membantu ketidak fahaman murid terhadap pelajaran secara seta merta. Perkara ini perlu dilakukan oleh setiap guru dalam proses P&P di dalam kelas. Ia menunjukkan interaksi dan komunikasi yang berkesan antara guru dengan murid.